Adakah jika benarlah dibatalkan perarakan itu, adakah ia merupakan
satu isu besar dari sudut agama serta tanda tidak menghormati baginda
Rasul dan Islam?
Seumur hidup saya, saya belum dan tidak pernah
menyertai kumpulan perarakan sempena menyambut Maulidur Rasul. Saya
tidak berhasrat untuk membicarakan persoalan perbezaan dan perdebatan
hukum tentang perarakan seperti itu. Saya kira hal ini setiap tahun akan
menjadi polemik dan kerap dijadikan bahan perdebatan yang akhirnya
menjadi medan memperlekeh antara satu sama lain atau lebih buruk,
menyemai titik kebencian di antara satu sama lain. Saya ada pandangan
dan pendirian dalam hal sama ada bid’ah atau tidak sebuah perarakan
Maulidur Rasul, Namun cukuplah memadai tulisan-tulisan dari mereka yang
telah mengulas panjang lebar.Tulisan ini hanya saya sasarkan untuk kita
sama-sama fikir dan fahami tentang keutamaan atau yang ‘sepatutnya’
sahaja.
Sebagaimana kita tahu dan faham, sambutan Maulidur Rasul
sepatutnya bertujuan untuk memperingati kelahiran baginda Nabi Muhammad
s.a.w atau yang lebih penting adalah perlantikan baginda menjadi
Rasulullah. Setakat mengenang tarikh kelahiran semata-mata tanpa
mengenengahkan inti risalah, mesej dan perjuangan yang dibawa oleh
baginda Nabi adalah suatu kesilapan dalam pendekatan dan memahami
keutamaan.
Justeru itu, bagi mereka yang TEGAS berpegang kepada
KEHARUSAN menyambut Maulidur Rasul, atas alasan-alasan yang mereka
yakini, aktiviti yang paling wajar ketika itu tentunya adalah semua
jenis majlis yang mengenengahkan inti perjuangan Nabi seperti mengajak
kepada tauhid Allah dan menjauhi syirik, meyakini akhirat dan hidup di
atas dunia bersesuaian dengan keyakinan tersebut, mematuhi hukum-hakam
dalam bidang hubungan manusia dengan manusia sama ada dari sudut akhlak,
nikah kahwin, muamalat kewangan dan hukuman jenayah.
Ruang inilah
yang perlu dimaksimumkan ketika menyambut Maulidur Rasul. Itulah tanda
kita sedang benar-benar memperingati baginda. Itulah sebuah penghargaan
dan syiar yang benar-benar tepat mengenai sasaran sebuah sambutan
terhadap baginda Nabi. Kerana itu juga merupakan inti dan kandungan
perjuangan Rasulullah yang mulia selama 23 tahun kehidupannya sebagai
seorang Rasul dan Nabi terakhir bagi seluruh bangsa manusia.
Jika
demikian, bagaimana cara untuk mengengahkan semua itu kepada masyarakat?
Sambutan maulidur Rasul sangat mesti mensasarkan objektif mengajar
mereka yang belum tahu, mengingat mereka yang lupa, mengukuh pegangan
mereka yang telah dan masih ingat serta membetul mereka yang tersasar
dari kehidupan yang ditunjuk oleh Rasul mereka.
Kita ingin
menyambut Maulidur Rasul dengan mengembalikan ingatan masyarakat kepada
tatacara kehidupan yang layak untuk mendapat belas Allah dan syafaat
Nabi di akhirat.
Persoalannya, adakah sebuah perarakan dengan
pakaian seragam, mengangkat sepanduk puji-pujian, sambil berselawat
mampu membawa kita ke arah objektif itu? Jika itulah upacara utamanya,
saya kira ia benar-benar sebuah antiklimaks serta TIDAK memberi banyak
manfaat dari sudut akhiratnya, di tambah pula lagi di ketika wujudnya
pertikaian pada sambutan Maulidur Rasul itu sendiri. Jika begitu, apa
yang patut dibuat?
Bagi saya, banyak perkara yang lebih utama,
wajar dan tepat untuk dilakukan. seperti program kuliah dan ceramah sama
ada di peringkat masjid, surau, sekolah, universiti sememangnya sudah
tentu menjadi pilihan utama. Kerana itulah satu cara yang terulung dan
paling klasik dalam menyampaikan sebuah mesej untuk mengingat, menegur,
meneguh dan membetul.
Memang benar, sebahagian besar perkara di
atas memang sudah menjadi amalan, namun apa yang perlu diubah adalah
cara dan kaedah itu masih tidak diketengahkan dan dijadikan sebuah
klimaks sambutan Maulidur Rasul. Sebaliknya ia hanyalah inisiatif
kecil-kecilan pihak-pihak tersebut sahaja, sedang ruang dan peluang yang
dipunyai oleh pihak pemerintah sama ada negara atau negeri menunjukkan
mereka punyai ruang kuasa yang jauh lebih besar.
Justeru,
gunakanlah kuasa itu untuk membesar skala program yang lebih patut
diatas, jangan dibazir dengan sebuah perarakan tanpa mesej yang jelas.
Biasanya
coverage program-program ceramah terlalu kecil, berbadning sebuah
perarakan yang diwajibkan setiap jabatan kerajaan menghantar wakil.
Adalah
lebih tepat jika pihak kerajaan pusat menggunakan ruang Televisyen
untuk memasuki rumah jutaan rakyat bagi menyampaikan mesej perjuangan
Rasulullah, syarikat gergasi GLC dan swasta wajar boleh menyumbangkan
sedikit dari keuntungan mereka untuk menaja program-program kesedaran di
ruang TV. Itu yang sepatutnya berbanding memberi tajaan kepada peraduan
yang entah apa-apa dan konsert penuh maksiat.
KEPELBAGAIAN DAN KREATIVITI
Jika
ingin menarik minat pelbagai latarbelakang, muda dan tua, berpendidikan
tinggi dan rendah. Saya kira kreativiti diperlukan untuk mempelbagaikan
majlis penyampaian mesej dan risalah Rasulullah itu. Konsert Islam
seperti Konsert Maulidur Rasul berserta selingan nasihat dan ceramah
ringkas mungkin munasabah walau ditentang oleh beberapa pihak yang
menolak nasyid secara total. Majlis sebegitu jauh lebih baik berbanding
perarakan beserta selawat tanpa sebarang ingatan dan nasihat.
Atau
boleh juga kita menunjuk syiar Islam dan kecintaan kepada Rasul,
melalui perhimpunan mega seluruh kakitangan kerajaan negeri dan
jabatannya di sebuah stadium, tidak perlu berarak, apa yang perlu adalah
duduk mendengar dan menghayati mesej-mesej dari sang penceramah
berwibawa atau melalui forum, atau boleh beserta selingan nasyid. Majlis
penaugerahan tokoh boleh diteruskan. Majlis peringkat kebangsaan boleh
disiar secara langsung di televisyen, bagi menambah jangkauan liputan
kepada mereka yang lebih suka berada di rumah.
Hari tersebut juga
perlu disambut dengan usaha menutup pusat-pusat hiburan dan rancangan
hiburan di media yang jelas bertentangan dengan mesej dari kebangkitan
Rasulullah.
Itulah tugas seorang pemimpin disemua peringkat,
rumahtangga, masyarakat, negeri dan negara. Lagi besar kuasanya, lebih
besar tanggungannya di sisi Allah.
Nabi s.a.w bersadba :
ما من أمير يلي أمور المسلمين ثم لا يجهد لهم وينصح لهم إلا لم يدخل معهم الجنة
Ertinya
: Tiada seorang ketua yang memimpin orang bawahannya dari kalangan
Muslimin kemudian dia tidak berusaha bersungguh dalam untuk kebajikan
mereka dan tidak memberi nasihat (kepada Islam), kecuali pemimpin ini
tidak memasuki syurga ( Riwayat Muslim)
Atau dalam riwayat lain disebut hukumannya sebagai
فلم يحطها بنصحه لم يجد رائحة الجنة
Ertinya
: dan apabila mereka tidak menasihatkan rakyatnya dengan nasihat
kebaikan, nescaya diharamkan baginya bauan syurga (amat jauh dari syurga
sehingga bauannya pun tidak diperoelhi apatah lagi syurga itu sendiri)
KESIMPULAN
Kesimpulannya,
menurut pandangan saya, sambutan Maulidur Rasul melalui perarakan walau
ia telah dilaksana turun temurun di Malaysia, ia tidaklah mampu
menunaikan hak baginda Rasullullah dan Islam itu sendiri. Ia jelas,
tersasar dari objektif utama perjuangan Rasulullah, apa yang sepatutnya
lebih ditumpukan dan disalurkan peruntukan besar adalah program
meningkat kesedaran terhadap inti perjuangan dan mesej Islam.
Justeru,
jikalau ada mana-mana negeri yang membatalkannya sekalipun lalu diganti
dengan sebuah acara yang lebih menepati maksud sambutan Maulidur Rasul
seperti himpunan ceramah dan sebagainya, ia adalah lebih baik.
Semoga kita semua mampu lebih beringat dan faham mesej perjuangan baginda Rasulullah bersempena sambutan hari lahir baginda.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
Rujukan Artikel dari www.zaharuddin.net
No comments:
Post a Comment